Tarikan Penyokong Golf

Posted by Ramlan Sabtu On Sunday, June 20, 2010

Permainan Golf Kini Tidak Akan Sama Seperti Dahulu Lagi

20 Jun - Golf adalah satu sukan yang mementingkan fokus yang tinggi. Suasana yang tenang dan senyap adalah satu elemen penting dalam sukan tersebut. Tidak ada yang memekik memberi arahan arah pukulan mahupun mengutuk 'boo' ketika pemain sedang menghayun kayu golf.

Bahagian yang biasanya menerima sorakan dan tepuk gemuruh boleh dikatakan apabila pemukul sudah melakukan pukulan. Terutamanya setelah bola golf masuk ke dalam lubang.

Namun baru-baru ini di Penang Golf Resort, suasana permainan golf telah berubah. Penganjur pertandingan golf di sana telah memberikan sejenis alat tiupan vuvuzela kepada 7,000 penyokong terawal hadir ke Pesta Golf Antarabangsa itu.

Penganjur pertandingan tersebut menjanjikan kemeriahan kepada Pesta Golf Antarabangsa tahun ini yang berlangsung selama seminggu bermula kelmarin.

"Bunyi yang anda dengar ketika permainan ini bukanlah bunyi vuvuzela keseluruhannya, tetapi ianya adalah bunyi semangat golf," ujar Dato' Affendi Ahmad, pengarah perlawanan Pesta Golf Antarabangsa.

Beliau turut menambah, tarikan terbaru ini akan mendedahkan golongan remaja dan kanak-kanak lebih awal kepada permainan golf. Secara tak langsung, ianya dapat memecah tembok dominasi permainan golf yang sinonim dengan golongan elit.

"Kanak-kanak dan remaja sukakan hiruk-pikuk dan keriuhan. Maka salah satu matlamat pemberian vuvuzela adalah untuk menarik golongan muda ini kepada sukan yang selalu dilabel sebagai sukan bisu. Saya percaya, selepas ini penerimaan sukan golf lebih bersifat terbuka kepada masyarakat Malaysia."

Walaubagaimana pun, sukan yang dimainkan semenjak kurun ke-15 itu, turut mendapat tentangan dari sesetengah pihak yang berharap vuvuzela ditarik balik pengedarannya.

"Vuvuzela memang satu fenomena di seluruh dunia sekarang, tetapi mengaitkannya dengan golf seolah-olah mengatakan Adidas adalah pengeluar jersey Arsenal. Ianya amat tidak boleh diterima akal," rungut salah seorang peserta dari Jamaica.

0 comments

Post a Comment