Santa Batal Perjalanan

Krismas Hambar


25 Disember - Berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia mengeluh kecewa apabila Santa Klaus tidak dapat hadir menghadiahkan hadiah hari natal kepada mereka.

"Cuaca buruk di sekitar kutub utara menghala ke Eropah nampaknya mewujudkan kesukaran untuk penerbangan Santa. Sekarang ianya bergantung pada sensor di hidung Rudolph untuk memandu arah," terang seorang pengkaji cuaca semalam.

Seorang bapa yang kesempitan wang terus-menerus memaki Santa kerana memberikan harapan palsu kepada anaknya.

Santa buat pertama kali menggunakan teknologi GPS tajaan Papa Go turut kecewa kerana teknologi itu tidak dapat membantunya dalam cuaca buruk sebegini di Eropah.

"Saya berharap lepas ini masyarakat dunia hadiahkan saya kereta proton tuah bagi memudahkan penghantaran kepada kanak-kanak." ujar Santa sambil menyentap jambangnya tanda perletakan jawatan.

Kontena Kemalangan Ngeri

Kelendan Keluar Makan, Pemandu Cedera Lori Terbalik

2 September - Seorang pemandu lori kontena cedera selepas kenderaan dipandunya yang membawa muatan kain songket terbalik dan terbakar berdekatan Jerantut menghampiri Felda Sungai Retang, dekat sini semalam.

Kejadian lori terbalik yang mengerikan penduduk Felda Sungai Retang itu berlaku kira-kira pukul 6.00 pagi tatkala ramai penduduknya baru selesai menjamah sahur.

Kemalangan ngeri itu dikatakan berpunca apabila salah seorang daripada kelendan lori tersebut tiba-tiba melompat turun dari lori yang berkelajuan 60km sejam kerana risau tidak sempat untuk bersahur di gerai yang baru dilintasi lorinya.

Kemalangan itu menjadi bertambah ngeri selepas lori yang terbalik itu telah menyebabkan berlakunya kebakaran dan letupan kecil pada bahagian kontena terbabit.

Berikutan itu, laluan tersebut terpaksa ditutup hampir 46 minit berikutan kerja-kerja pemadaman api dan pengagihan kain songket yang masih terselamat dijalankan oleh Bomba dan Penyelamat Jerantut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Rosman Kassim turut menyoal kedua-dua pemandu dan kelendan lori tersebut mengenai punca kejadian.

Ujar kelendan lori terbabit, beliau tidur di kerusi sebelah pemandu, tiba-tiba terjaga dari lamunan dan terus melihat jam tangan Fossil ditangannya dan mendapati jam sudah menunjukkan hampir waktu imsak.

Kelendan lori kemudiannya memberi arahan menyuruh kawannya berhenti di bahu jalan dengan segera, tetapi tindak balas yang diberi pemandu adalah terlalu lambat. Kecewa dengan tahap respon yang lemah, beliau menggertak akan terjun jika lambat berhenti.

"Saya betul-betul tak sangka kelendan saya akan terjun. Saya ingatkan beliau sekadar bergurau. Sehinggalah tiba-tiba beliau mencekik leher saya dan terus terjun kerana terlalu risau waktu sahur akan tamat," pemandu lori tersebut menceritakan pengalaman ngerinya itu.

Rosman Kassim dalam kenyataan yang sama mengulas kemalangan itu mampu menjadi lebih ngeri jika lori itu melanggar kesemua gerai dan peniaga di bahu jalan serta diiringi kejadian kepala kelendan itu pecah berterabur digilis tayar lori akibat gagal mendarat dengan selamat. Otak kelendan yang bersepai di serata jalan mampu mengerikan suasana kejadian.

Penduduk setempat juga bersyukur keadaan tidak menjadi terlampau ngeri kerana disebalik deretan gerai tersebut ialah gaung sedalam 60 kaki.

Sehubungan itu, Rosman Kassim mencadangkan papan tanda amaran dipasang sepanjang laluan tersebut sebagai peringatan kepada pemandu kenderaan berat agar berhenti bagi mengambil sahur di bulan Ramadhan yang berbaki seminggu lagi.

Beliau juga menambah, kebakaran itu berpunca daripada percikan api yang terhasil daripada geseran sesama kain songket tersebut dan kemudian menyambar minyak yang tumpah.

Hasil siasatan lanjut turut mendapati kain songket itu diperbuat daripada sutera. Satu laporan telah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM ekoran penipuan dan pengeliruan fabrik pakaian lelaki yang mengharamkan diperbuat daripada sutera.

Pemandu dan kelendan yang terselamat berpelukan dan mengakui ini ialah detik yang paling tidak akan dilupakan dan merupakan kenangan paling manis sepanjang perkenalan mereka.

Krisis Kucing Najib

Najib Hadapi Serangan Baru Pembangkang

21 Jun - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang mengutuk sikap Perdana Menteri yang tidak patriotik ketika di majlis pelancaran beli barangan buatan Malaysia

"Perdana Menteri pergi kempen beli barang Malaysia. Tetapi Perdana Menteri membeli barangan Parsi (kucing parsi). Ini amat tidak berpatutan terhadap perilaku seorang yang bergelar perdana menteri."

Lim Kit Siang menyelar tindakan Datuk Seri Najib yang tidak bersikap patriorik dan berjiwa Malaysia. Beliau mendesak Najib lebih prihatin dan sensitif dengan hak kucing peribumi yang turut memerlukan perhatian di Malaysia.

Jumaat lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) mengumumkan pembelian seekor kucing parsi berbulu jingga keemasan putih sewaktu menghadiri pelancaran kempen 'Beli Barangan Malaysia' sehari sebelum itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pada masa sama menegaskan berlaku salah guna dana awam ketika Datuk Seri Najib membeli kucing parsi tersebut.

"Najib terbeli kucing itu. Ini menunjukkan Najib tidak merancang kewangan dengan betul. Beliau ke sana, kemudian rasa nak beli, dia beli. Rasa berkenan, dia ambil. Ini ketirisan ekonomi. Tidak berhemah langsung. Satu perancangan yang rapi dan jelas perlu dilakukan sebelum sebarang pembelian dilakukan."

Anwar juga mengecam dasar 'Rakyat Didahulukan' apabila urusan pembelian tersebut tidak melalui proses terbuka untuk rakyat sama-sama bersaing dalam membangunkan negara.

"Kita ada bukti, dia beli kucing itu dengan rundingan terus. Sepatutnya rundingan tender terbuka perlu dilakukan. Barulah tidak berlaku korupsi dalam kerajaan. Saya percaya, syarikat yang menjual kucing ini pasti ada kaitan dengan kepentingan Barisan Nasional."

Datuk Seri Anwar ketika ditanya mengenai jumlah wang yang ditawarkan untuk Datuk Seri Najib membeli kucing tersebut, beliau memberitahu ianya berjumlah RM 2 juta.

"Dua juta. Memang kucing itu dibeli dengan tawaran sebanyak 2 juta ringgit. Saya percaya, banyak lagi kucing akan dibeli oleh Najib kelak."

Didesak wartawan KacangDinding untuk mengemukakan bukti, Anwar berjanji memberikan bukti apabila tiba masanya.

"Bukti ada dalam tangan, kamu tunggu. Tunggu 16 September ini, kerajaan Najib akan karam dengan bukti kami. Kalau bukan September tahun ini, tahun depan ada lagi," ujarnya ketua pembangkang itu yakin.

Perancis Mengekori Malaysia

Skuad Bola Sepak Perancis Meniti Zaman Monarki

21 Jun - Akibat penyingkiran Nicolas Anelka, skuad Perancis mula melempiaskan ketidak-puasan hati mereka kepada orang atasan.

Akhbar Perancis, Sports Daily L’Equipe, mendakwa skuad pimpinan Raymond Domenech (gambar kiri) itu akan mengadakan demonstrasi meminta jurulatih mereka dipecat selepas jurulatih mereka itu berjaya memecat Anelka.

Laporan sama juga menyebut penyerang Chelsea berusia 31 tahun itu memaki hamun Domenech dengan perkataan kesat dengan mengutuk penyanyi kegemaran Domenech, Alizée Jacotey (gambar bawah) dan strategi perlawanan yang kelakar seperti rekabentuk kereta Renault Megane.

Di Perancis, Alizée ialah sama terkenal seperti Dato' Siti Nurhaliza Tarudin. Mengutuk Alizée dan Renault seolah-olah mengutuk seniwati negara dan kereta kebangsaan negara, Proton.

Perkembangan terbaru itu menyebabkan pengarah pasukan Perancis, Jean-Louis Valentin, mengambil rawatan epilepsi atas tekanan yang dipikul.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah telah berangkat ke Afrika dengan jet diraja untuk bertemu dengan jurulatih dan pengendali skuad bola Perancis bagi memberi sokongan moral kepada peneraju pasukan tersebut.

"Ini biasa berlaku, rakyat bawahan akan mendesak kita (orang atasan) untuk letak jawatan. Kita tak wajar akur desakan ini. Pekakkan telinga kita, kekalkan posisi kita kerana kita tahu apa yang terbaik untuk mereka," titah Sultan Ahmad Shah sebelum bertolak.

Sultan Ahmad Shah juga mengalu-alukan Perancis dalam mengikut jejak langkah bola sepak Malaysia yang didapati mempunyai banyak persamaan akhir-akhir ini berdasarkan kemerosotan mendadak pasukan itu.

Tarikan Penyokong Golf

Permainan Golf Kini Tidak Akan Sama Seperti Dahulu Lagi

20 Jun - Golf adalah satu sukan yang mementingkan fokus yang tinggi. Suasana yang tenang dan senyap adalah satu elemen penting dalam sukan tersebut. Tidak ada yang memekik memberi arahan arah pukulan mahupun mengutuk 'boo' ketika pemain sedang menghayun kayu golf.

Bahagian yang biasanya menerima sorakan dan tepuk gemuruh boleh dikatakan apabila pemukul sudah melakukan pukulan. Terutamanya setelah bola golf masuk ke dalam lubang.

Namun baru-baru ini di Penang Golf Resort, suasana permainan golf telah berubah. Penganjur pertandingan golf di sana telah memberikan sejenis alat tiupan vuvuzela kepada 7,000 penyokong terawal hadir ke Pesta Golf Antarabangsa itu.

Penganjur pertandingan tersebut menjanjikan kemeriahan kepada Pesta Golf Antarabangsa tahun ini yang berlangsung selama seminggu bermula kelmarin.

"Bunyi yang anda dengar ketika permainan ini bukanlah bunyi vuvuzela keseluruhannya, tetapi ianya adalah bunyi semangat golf," ujar Dato' Affendi Ahmad, pengarah perlawanan Pesta Golf Antarabangsa.

Beliau turut menambah, tarikan terbaru ini akan mendedahkan golongan remaja dan kanak-kanak lebih awal kepada permainan golf. Secara tak langsung, ianya dapat memecah tembok dominasi permainan golf yang sinonim dengan golongan elit.

"Kanak-kanak dan remaja sukakan hiruk-pikuk dan keriuhan. Maka salah satu matlamat pemberian vuvuzela adalah untuk menarik golongan muda ini kepada sukan yang selalu dilabel sebagai sukan bisu. Saya percaya, selepas ini penerimaan sukan golf lebih bersifat terbuka kepada masyarakat Malaysia."

Walaubagaimana pun, sukan yang dimainkan semenjak kurun ke-15 itu, turut mendapat tentangan dari sesetengah pihak yang berharap vuvuzela ditarik balik pengedarannya.

"Vuvuzela memang satu fenomena di seluruh dunia sekarang, tetapi mengaitkannya dengan golf seolah-olah mengatakan Adidas adalah pengeluar jersey Arsenal. Ianya amat tidak boleh diterima akal," rungut salah seorang peserta dari Jamaica.

Bendera Israel Laris

Israel Menjana Pendapatan Melalui Jualan Bendera

19 Jun - Disebalik kutukan dan kecaman dunia terhadap negara zionis Israel, Israel meraih popularitinya tersendiri hasil tindakan tersebut.

Israel, semenjak awal Jun lalu telah berjaya mencatatkan statistik tertinggi dunia jualan bendera sepanjang 62 tahun penubuhan negara haram itu.

Penjualan bendera negara Yahudi itu mengatasi jualan bendera negara-negara lain termasuk bendera negara yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Shimon Peres, presiden Israel dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada seluruh pemimpin dunia kerana telah membeli bendera negara itu walau apa jua tujuannya.

"Bendera Israel telah mencapai permintaan tinggi sama seperti petrol dan ipad. Tidak ada apa lagi yang boleh diperkatakan melainkan kebanggaan saya," ujarnya.

Ianya bermula rentetan daripada tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) menawan kapal MV Rachel Corrie. Bendera Israel menjadi bahan tunjuk perasaan masyarakat dunia apabila digunakan untuk menunjukkan protes terhadap tindakan kejam negara itu yang membunuh aktivis kemanusiaan ke Gaza.

Kebanyakkan bendera Israel yang dibeli, dibakar oleh penunjuk perasaan sewaktu demonstrasi. Selain dibakar, ianya turut boleh dijadikan alas kaki dan jubah Yahudi.

Kapal Rachel Corrie milik Malaysia membawa 1,500 tan pelbagai bantuan termasuk perubatan, bahan binaan, makanan dan pakar motivasi negara, Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah sebagai bekalan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Najib Beli Kucing

Datuk Seri Najib Lancar Kempen Beli Kucing

18 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengalu-alukan kempen membeli kucing. Beliau memberikan jaminan kempen ini akan mendapat sokongan penuh kerajaan kelak. Satu portfolio khas juga akan ditubuhkan di bawah kementerian industri asas tani bagi memupuk pembiakan kucing-kucing sihat.

Kempen yang diberi nama 'Satu rumah, satu kucing,' menyasarkan golongan pelbagai kaum dan negeri untuk memelihara sekurang-kurangnya seekor kucing.

Beliau semalam telah terbeli seekor kucing Parsi berbulu jingga keemasan putih secara tidak dirancang sewaktu berada di majis pelancaran kempen 'Beli Barangan Malaysia.' Di samping itu beliau turut membeli beberapa barangan peribadi beliau seperti pencukur dan karung guni.

Perdana Menteri berkata, beliau pernah membela kucing sebagai haiwan manjaan untuk menenangkan dirinya sebelum berkahwin.

"Isteri saya sudah tentu akan turut memeluk dan menggomol makhluk comel ini apabila pulang ke rumah nanti," katanya.

Gara-gara Kalah

Geram Switzerland menang, bapa cedera di hidung.

17 Jun - Oleh kerana geram Switzerland menang 1-0 ke atas Sepanyol dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia malam tadi, seorang remaja telah bertindak melepaskan kala jengking (gambar) peliharaannya sehingga melantun mencederakan hidung bapanya.

Syu Fee Wong, 63, dari Ladang Chin Teck di Gua Sampot mengalami pendarahan yang banyak apabila lubang hidung kanannya terkena serpihan bisa kala jengking tersebut, sehingga urat saraf untuknya menghidu dikatakan terputus.

Beliau kemudiannya dirawat di Hospital Gua Sampot dan menerima 16 jahitan.

Kejadian tersebut berlaku pada 5 pagi ketika beliau sedang bersiap-siap untuk ke kebunnya. Anak sulungnya yang baru bangun tidur, Syu Ham Feh, 40, terus membuka komputer ribanya untuk memeriksa keputusan perlawanan antara Sepanyol dan Switzerland.

Kecewa dengan kekalahan Sepanyol, anaknya telah menerpa akuarium yang menyimpan kala jengking peliharaannya dan secara tidak sengaja terbaling salah seekor kala jengking ke arahnya.

"Serpihan sengat haiwan kemudianya tercucuk di hidung saya. Saya ketika itu duduk berhampiran dapur di ruang tamu," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan.

Wong berkata pada mulanya beliau tidak menyedari sengatan kala jengking terkena hidungnya, tetapi setelah menghidupkan enjin motorsikalnya, beliau sedar sewaktu makan sarapan tadi, beliau gagal untuk menghidu bau roti bakar dengan lubang hidung kanannya.

"Mujur saya sempat menjerit memarahi kala jengking saya menggenai perkara itu sebelum saya bergegas ke rumah jiran bagi mendapat bantuan untuk dihantar ke hospital."

Kala jengking peliharaan keluarga Wong telah ditahan reman untuk siasatan atas cubaan mencederakan pemeliharanya.

Pengikut

Kategori

editorial (4) ekonomi (2) hiburan (1) kaunseling (1) sci/tech (2) sukan (4)
Click to follow our twitter
”/
Kacang Dinding

Ramlan Sabtu

Ketua Pengarang
Malaysian | CONTACT
”/
Kacang Dinding

Kambing Gurun

Pengarah Liputan
Malaysian | CONTACT
Follow us on Twitter
Host Sponsor