Kontena Kemalangan Ngeri

Kelendan Keluar Makan, Pemandu Cedera Lori Terbalik

2 September - Seorang pemandu lori kontena cedera selepas kenderaan dipandunya yang membawa muatan kain songket terbalik dan terbakar berdekatan Jerantut menghampiri Felda Sungai Retang, dekat sini semalam.

Kejadian lori terbalik yang mengerikan penduduk Felda Sungai Retang itu berlaku kira-kira pukul 6.00 pagi tatkala ramai penduduknya baru selesai menjamah sahur.

Kemalangan ngeri itu dikatakan berpunca apabila salah seorang daripada kelendan lori tersebut tiba-tiba melompat turun dari lori yang berkelajuan 60km sejam kerana risau tidak sempat untuk bersahur di gerai yang baru dilintasi lorinya.

Kemalangan itu menjadi bertambah ngeri selepas lori yang terbalik itu telah menyebabkan berlakunya kebakaran dan letupan kecil pada bahagian kontena terbabit.

Berikutan itu, laluan tersebut terpaksa ditutup hampir 46 minit berikutan kerja-kerja pemadaman api dan pengagihan kain songket yang masih terselamat dijalankan oleh Bomba dan Penyelamat Jerantut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Rosman Kassim turut menyoal kedua-dua pemandu dan kelendan lori tersebut mengenai punca kejadian.

Ujar kelendan lori terbabit, beliau tidur di kerusi sebelah pemandu, tiba-tiba terjaga dari lamunan dan terus melihat jam tangan Fossil ditangannya dan mendapati jam sudah menunjukkan hampir waktu imsak.

Kelendan lori kemudiannya memberi arahan menyuruh kawannya berhenti di bahu jalan dengan segera, tetapi tindak balas yang diberi pemandu adalah terlalu lambat. Kecewa dengan tahap respon yang lemah, beliau menggertak akan terjun jika lambat berhenti.

"Saya betul-betul tak sangka kelendan saya akan terjun. Saya ingatkan beliau sekadar bergurau. Sehinggalah tiba-tiba beliau mencekik leher saya dan terus terjun kerana terlalu risau waktu sahur akan tamat," pemandu lori tersebut menceritakan pengalaman ngerinya itu.

Rosman Kassim dalam kenyataan yang sama mengulas kemalangan itu mampu menjadi lebih ngeri jika lori itu melanggar kesemua gerai dan peniaga di bahu jalan serta diiringi kejadian kepala kelendan itu pecah berterabur digilis tayar lori akibat gagal mendarat dengan selamat. Otak kelendan yang bersepai di serata jalan mampu mengerikan suasana kejadian.

Penduduk setempat juga bersyukur keadaan tidak menjadi terlampau ngeri kerana disebalik deretan gerai tersebut ialah gaung sedalam 60 kaki.

Sehubungan itu, Rosman Kassim mencadangkan papan tanda amaran dipasang sepanjang laluan tersebut sebagai peringatan kepada pemandu kenderaan berat agar berhenti bagi mengambil sahur di bulan Ramadhan yang berbaki seminggu lagi.

Beliau juga menambah, kebakaran itu berpunca daripada percikan api yang terhasil daripada geseran sesama kain songket tersebut dan kemudian menyambar minyak yang tumpah.

Hasil siasatan lanjut turut mendapati kain songket itu diperbuat daripada sutera. Satu laporan telah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM ekoran penipuan dan pengeliruan fabrik pakaian lelaki yang mengharamkan diperbuat daripada sutera.

Pemandu dan kelendan yang terselamat berpelukan dan mengakui ini ialah detik yang paling tidak akan dilupakan dan merupakan kenangan paling manis sepanjang perkenalan mereka.