Klinik Gigi Jalanan

31 Mei - Orang ramai yang mendapatkan khidmat doktor gigi jalanan dinasihatkan berjaga-jaga dengan khidmat yang ditawarkan. Ini kerana tahap kebersihan mereka dikhuatiri boleh mendatangkan penyakit berbahaya. Alatan yang digunakan untuk memeriksa dari satu mulut pesakit ke pesakit lain juga tidak dinyahkumankan mengikut prosedur yang sempurna.

Khidmat doktor gigi jalanan itu yang didapati berleluasa di sekitar Pasar Kepayang amat berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan kuman dan komplikasi penyakit yang memudaratkan. Lebih teruk lagi sebahagian penyakit yang boleh dijangkiti itu berpotensi membawa maut seperti AIDS.

Kementerian kesihatan telah mengeluarkan notis agar rakyat Malaysia menjauhi premis-premis klinik pergigian yang tidak diiktiraf dan segera melaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan susulan.

Ketika wartawan KacangDinding menyamar menghampiri salah seorang doktor gigi jalanan tersebut, mereka menyangkal keras alatan mereka tidak bersih dan boleh memudaratkan pesakit.

Fang, yang berasal dari China memberi jaminan khidmatnya dijamin bersih dan sama seperti khidmat doktor gigi profesional lain.

"Kami di sini memastikan alatan kami dicuci bersih dengan sabun Dettol. Ianya membunuh kuman dengan berkesan. Khidmat kami juga halal kerana ubatan dan alatan kami tidak mengandungi unsur babi."

Fang juga menjelaskan bahawa mereka turut mengambil berat faktor penyebaran AIDS yang ditakuti orang ramai.

"Setiap pelanggan akan dibekalkan kondom yang masih baru bagi mengelakkan pelanggan kami menerima jangkitan AIDS sewaktu kami memberi rawatan."

Wartawan KacangDinding walaubagaimanapun menolak khidmat tersebut setelah diberikan sebungkus kondom yang berkualiti tinggi.

Samy Pecat Lagi

30 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu (gambar) telah memecat kesemua ahli parti itu yang tidak sehaluan dengan beliau. Terkini, setiausaha agung parti itu, S Murugessan telah dipecat dan ditarik kesemua elaun dan faedah sebagai ahli MIC.

Sebelum ini, Datuk Seri Samy telah memecat 4 orang berjawatan tinggi dalam parti tersebut. Dua daripadanya adalah tergolong daripada ahli jawatankuasa pusat, KP Samy dan G Kumar Amaan. Turut dipecat ialah timbalan ketua pemuda, V Mugilan dan pemimpin veteran dari bahagian Petaling Jaya, V Subramaniam. Mereka semua dipecat kerana lantang menggesa presiden parti itu supaya berundur.

Mereka semua dipecat tanpa diberi peluang menghadiri majlis timbang tara justeru membuatkan Murugessan tidak puas hati kerana mengancam proses demokrasi parti.

Pada masa sama, Datuk Seri Samy melancarkan kempen Kami India Sayang Samy (KISS) bagi menempis segala tohmahan oleh Gerakan Anti-Samy (GAS) yang diketuai bekas timbalan ketua pemudanya.

"Ciuman kasih sayang (KISS) akan memberi kesan positif walau dikelilingi gas beracun." katanya sambil disambut gelak tawa para wartawan.

Seorang penganalisa politik mendapati Samy akan memecat mereka yang ada huruf 'M' dalam nama mereka. Ironinya Samy mungkin tidak gemar orang yang mempunyai huruf tersebut kecuali dirinya. Sebab itu jika diperhatikan, beliau tidak memecat timbalannya yang bernama Dato' G. Palanivel. Mereka yang mempunyai lebih dari satu 'M' dalam nama mereka, berpotensi lebih besar untuk dipecat.

Datuk Seri Samy juga sedang berbincang untuk memecat Tun Dr Mahathir yang turut mempertikai kredibilitinya memimpin parti. Tun Dr Mahathir dijangka akan dipecat dari menduduki jawatan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-empat.

Kenaikan Disambut Baik

27 Mei - Kesatuan Penjaja Petrol (Kepepet) menyambut baik hasrat kerajaan jika berlakunya kenaikan harga minyak di pasaran tempatan.

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala (gambar), yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PENGAPI) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara, diiktiraf oleh presiden Kepepet, Subki Maarof.

"Kami memuji kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sedia menjadi telinga rakyat. Beliau mendengar segala rungutan dan memahami aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia terus maju. Kami NGO pertama menyokong penuh hasrat yang dicadangkan Datuk Seri Idris Jala."

Subki mengulas bahawa dengan bantuan subsidi yang berterusan memang negara akan muflis dalam tempoh 9 tahun. Hal ini telah dijelaskan sebelum ini melalui konteks kekerapan pilihan raya kecil diadakan di Malaysia. Setiap kali berlaku satu pilihanraya kecil, sekurang-kurangnya RM 1 juta perlu ditaburkan.

Untuk mengelakkan kerajaan tidak mempunyai dana untuk pilihanraya akan datang, kenaikan harga bahan bakar dilihat sebagai satu pilihan yang paling utama untuk dilaksanakan.

Kenaikan sekurang-kurangnya 15 sen setiap liter bagaimanapun sedikit mendukacitakan kerana Kepepet mahu kenaikan sekurang-kurangnya 30 sen dilakukan seperti di zaman pentadbiran Tun Abdullah. Walaubagaimanpun, beliau berharap proses kenaikan itu dipercepatkan demi kebaikan negara agar Malaysia tidak muflis seperti Greece.

Gabungan Komunikasi Masakan

Kini sesiapa pun boleh akses internet di mana-mana. Itulah moto yang diperkenalkan oleh Canon apabila berjaya mengeluarkan produk alatan memasak mereka yang pertama.


Dengan hasil kerjasama Microsoft, Canon berjaya menembusi pasaran komunikasi dan maklumat. Senduk Nasi R37D yang dikeluarkan Canon bukan seperti senduk nasi biasa. Ianya dilengkapi dengan teknologi internet terkini seperti akses gigibiru dan USB untuk memudahkan pemindahan data.

Disamping itu, teknologi GPS juga disediakan bagi memudahkan pemiliknya mengesan lokasi Senduk Nasi bagi memudahkan pencarian dan menjimatkan masa sesuai dengan sasaran pembeli dikalangan warga emas.


"Matlamat kami ialah memastikan tiada sebarang lapisan masyarakat ketinggalan dalam dunia internet. Tak kira sama ada anda sudah putus haid atau menghabiskan masa di dapur, tiada alasan untuk anda gagal mengetahui fesyen baju terkini di seluruh dunia," jelas ketua penerangan pemasaran Senduk Nasi R37D tersebut, Daniel Rosevelt Eusoff.

Senduk nasi berkenaan menepati keperluan dan permintaan pengguna setiap hari dalam pelbagai aspek termasuk gaya, harga, saiz dan keperluan pengkomputeran.

Berberatkan 500 gram, ia mampu menawarkan kecanggihan dan mobiliti dalam rekaannya. Ianya boleh didapati dalam warna Magenta Putih, Biscotti dan Matte Black serta rekaan yang dapat mengurangkan kesan cap jari menjadikannya mudah dibersih dan diselenggarakan. Ciri-ciri ini turut sesuai bagi peminat hiburan yang sentiasa bergerak.

Pelancaran Senduk Nasi R37D menggabungkan teknologi dan fesyen menerusi beberapa siri aktiviti dengan golongan wanita terutamanya kaum ibu dan suri rumah. Oleh itu, Canon menganjurkan jualan kebajikan sempena pameran jalanan tersebut.

Keuntungan daripada jualan berkenaan akan didermakan kepada Women Organization Recook Skills Taiping (WORST).

Senduk R37D telah berada di pasaran sekarang.

Industri Cat Untung

17 Mei - Industri cat negara menyaksikan pertumbuhan 5% bagi suku pertama tahun 2010 berbanding suku keempat 2009. Hal ini menjadikan industri cat sebagai industri kedua terkukuh di Malaysia selepas industri gas dan petroleum yang menyaksikan pertumbuhan 7.5% bagi tempoh yang sama.


Industri cat negara yang dipelopori oleh Colourland Paints Sdn Bhd dengan penjenamaan semula yang dilakukan mereka pada 2007 menyaksikan jenama cat paling menjadi pilihan masyarakat di Malaysia, Asean dan beberapa negara Eropah.

Sebelum ini, cat hanya dipopularkan sebagai cecair berwarna untuk melindungi permukaan yang lebih tertumpu kepada hiasan. Usaha Colourland Paints Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa pembiaya skim pinjaman kewangan semenjak 2007 berjaya memberi nafas baru kepada industri cat tempatan. Cat kini tidak terhad penggunaannya kepada sektor dekoratif, bahkan mampu menjadi bahan ugutan dan amaran bagi sesetengah pihak.

Warna cat yang paling mendapat sambutan ialah warna merah dengan pengeluaran sebanyak 30 juta tan metriks sebulan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pembantu Pengarah Pemasaran Colourland Paints Sdn Bhd, Chew Mei Foo berkata, unjuran kewangan pada suku kedua 2010 akan menyaksikan lebih banyak pertumbuhan akan berlaku dan mensasarkan mampu mencecah 7.3%.

Pertumbuhan rancak industri cat bagi suku kedua dan suku ketiga akan datang dipacu dengan tindakan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan untuk piala dunia 2010. Peminjam wang yang tidak mampu melunaskan pinjaman kewangan akan menjadi penyumbang kepada kenaikan kadar jualan cat.

Selain itu, antara faktor lain yang turut menjadi penyumbang kenaikan ialah sambutan hari kemerdekaan yang dijangkakan meriah diiringi beberapa pendedahan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri yang akan turut menyaksikan proses ugutan berleluasa.

Chew Mei Foo berkata, Colourland Paints Sdn Bhd juga akan melebarkan sayapnya ke luar negara dan membuka francais di pasaran Bangkok dan Las Vegas.

Pelajar SPM Keliru

16 Mei - Sewaktu satu Malaysia rancak meraikan hari guru kebangsaan di sekolah masing-masing, seorang pelajar di Kelantan telah membuat laporan polis terhadap pengetua sekolahnya dan guru-guru sekolahnya. Pelajar 17 tahun itu keliru dengan masa depannya apabila dipaksa mengambil peperiksaan SPM pada November ini.


Nik Azmin Nik Akmar (gambar), pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lipor Dua (SMK SL2) tidak berpuas hati apabila pihak sekolah mendaftarkan nama beliau sebagai calon SPM 2010 tanpa pengetahuannya.

Nik Azmin mengakui didesak untuk mengambil peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah dan keluarga. Beliau juga sering kali dipanggil lembaga disiplin dan kaunseling sekolah kerana keengganannya menduduki peperiksaan itu. Namun beliau bertekad tidak akan tunduk dengan tekanan yang diberi.

Beliau yakin bahawa kepandaian seseorang bukanlah terletak pada helaian kertas. Angka-angka gred yang terpapar baginya hanyalah satu tekanan psikologi yang menjadi beban untuk pelajar sekolah sepertinya.

"Anda tidak boleh mengawal segala kejadian yang berlaku dikeliling anda, tapi anda mampu mengawal reaksi anda terhadap semua perkara yang berlaku di sekeliling anda. Jadi saya mengambil langkah ini sebagai membuktikan cara reaksi yang rasional terhadap sistem pendidikan negara," ulas Nik Azmin.

Nik Azmin, pelajar terbaik sekolah tersebut dianggap oleh pihak sekolah sebagai satu taruhan untuk menaikkan nama sekolah tersebut di peringkat daerah Sungai Lipor.

Pengetua sekolah berkenaan, Tuan Haji Daud Salleh (gambar kanan) berharap dengan mendaftarkan Nik Azmin secara rahsia sebagai calon SPM adalah senjata intelektual sekolah itu untuk menjatuhkan maruah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lipor Satu (SMK SL1).

SMK SL1 adalah sekolah bestari peringkat daerah dan berjaya mengekalkan status keputusan SPM terbaik bagi tahun 2004 hingga 2009. Sekolah berkenaan juga melahirkan ramai pelajar-pelajar dengan keputusan SPM dan PMR yang cemerlang setiap tahun.

Tuan Haji Daud berjanji akan terus berusaha untuk memastikan Nik Azmin agar dapat hadir dengan jiwa yang terbuka di hari peperiksaan tersebut dan menarik balik laporan polis yang dibuat Nik Azmin.

Bunkface Berdakwah Dalam Lagu

Bunkface, kumpulan indie yang tidak asing lagi di Malaysia mula mencipta nama di arena seni muzik tanah air. Mereka yang menubuhkan kumpulan muzik mereka pada tahun 2005 kini bertungkus lumus menaikkan industri seni negara.


Album baru mereka bertajuk Phobia Phoney adalah satu permulaan kali ke-dua untuk kumpulan yang diwakili empat anak muda ini.

Album pertama mereka, Lesson of the Season berjaya meraih anugerah platinum 2008. Satu pencapaian paling mengagumkan muzik tempatan untuk kumpulan yang baru bertapak mengalahkan kumpulan antarabangsa setahun jagung seperti Jonas Brothers.

Vokalis kumpulan tersebut, Shamsul Annuar atau lebih normal dikenali sebagai Sam berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus menyokong mereka.

"Kami bebas berkarya apabila bergerak di bawah label bebas. Tidak terikat dengan kontrak syarikat-syarikat label muzik lain mengurangkan karenah legislatif sewaktu menandatangani kontrak. Jadi kami berjaya kurangkan kos khidmat guaman di situ," katanya ketika ditemubual pada sidang media selepas selesai pertunjukkan di Sunway Pyramid.

Bunkface mengakui antara sebab lain mereka bergerak secara indie adalah sebagai satu metodologi dakwah mereka. Mereka tidak mahu wang dan kepakaran mereka dimanipulasi oleh syarikat-syarikat muzik gergasi yang kebanyakkannya berpaksikan zionis.

"Mungkin ramai tidak sedar, kami menyokong perjuangan intifada umat Islam di Palestin. Lirik-lirik lagu kami semuanya berilhamkan perjuangan suci di sana."

Mengambil contoh lagu Through My Window, ianya mengisahkan seorang anak kecil yang tidak akan berseorangan melihat menerusi tingkap rumahnya yang pecah dibedil peluru tentera Israel akibat mimpinya yang menjadi kenyataan.

"Tidak mustahil, kami akan meniru jejak langkah Radhi OAG untuk berbaju melayu untuk tema album kami yang seterusnya. Imej yang lebih sesuai akan dikenakan kerana masyarakat Islam di Malaysia masih tidak menghayati perjuangan sebenar kami," ujar Paan, pemain gitar mereka yang kini dalam proses menukar nama glamornya kepada Ahmad Farhan Al-Banfis Ibnu Hashim Al-Banfis.

Perhimpunan Aman Berjaya

15 Mei - Persatuan Kanak-kanak Shah Alam bawah 15 tahun (Perkasham) semalam telah mengadakan perhimpunan aman di hadapan ibu pejabat polis Shah Alam. Perhimpunan yang dihadiri murid-murid tadika dari dua kelas tadika berasingan berjaya menyampaikan mesej kepada ketua balai polis.

Nur Zamarina Zambry yang mengetuai perhimpunan tersebut mengakui bahawa memang sukar untuk kanak-kanak yang baru berusia 6 tahun untuk melakukan perhimpunan aman.

"Kami dipandang lekeh oleh presiden persatuan kami yang usianya sudah 15 tahun. Kami sungguh terkilan dengan tindakan presiden persatuan."

Nur Zamarina turut menambah bahawa keadaan menjadi lebih sukar apabila ketua kelasnya sendiri, Tajul Amirul Shamsudin yang sepatutnya mengepalai perhimpunan tersebut, gagal untuk hadir ke kelas pagi tadi sebelum bertolak.

"Kami dapat tahu ibu bapanya berjaya menghidu sesuatu yang aneh sebelum menandatangani surat kebenaran waris. Sebenarnya kami palsukan surat tersebut dengan menyatakan pihak tadika akan mengadakan lawatan sambil belajar ke balai polis Shah Alam."

Menambah akan perkara itu, Nurul Sufinah yang turut menjadi kekasih Tajul menyatakan hal itu akhirnya terbongkar apabila sebelum kakak Tajul menggerak Tajul bangun tahajud, kakaknya terpandang buku panduan merusuh kanak-kanak di tepi bantal Tajul yang dipercayai dibaca semalaman sebelum tertidur. Lantas kakaknya melaporkan penemuan itu kepada ibu bapanya.

Presiden Perkasham, Syed Rais Syed Arooz ketika dihubungi menyatakan beliau sebenarnya sibuk untuk menghadapi peperiksaan PMR. Beliau menafikan bahawa beliau memandang lekeh usaha murni yang dilakukan oleh pihak Nur Zamarina.

Setelah selesai mengadakan perhimpunan aman di hadapan ibu pejabat polis Shah Alam, dilaporkan kumpulan kanak-kanak tadika tersebut beralih tempat membuat perhimpunan aman di hadapan rumah Tajul pula bagi mendesak ibu bapa Tajul membebaskan rakan mereka serta-merta.

Tips Pasangan Bahagia

Bukan mudah untuk memikat hati pasangan anda. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun hanya untuk membuat pasangan mereka mesra bersama mereka. Topic kali ni akan memberi anda tips bagaimana untuk memikat pasangan anda.

Setiap kali bersama pasangan anda, anda dinasihatkan sekurang-kurangnya membawa senduk kayu (atau kayu golf bagi si jejaka). Ketika anda rasa ingin bermesraan, kelurkan senduk kayu (atau kayu golf) tadi dan pukul pasangan anda tanpa mereka sedari.

Mengikut kajian Dr Fadhilah Kamsah, “apabila pasangan anda tipukul secara tiba-tiba, mereka akan berasa lebih romatik. Secara saintifiknya, perasaan mengejut itu merangsang organ yang mengawal hormon romantic pasangan anda untuk merembeskan lebih banyak hormon”, hujah beliau dalam rancangan Bersama Dato’ Dr Fadhilah Kamsah rabu lalu.

Diharap tips kali dapat membantu hubungan anda menjadi lebih intim.

Malaysia Kempunan Piala Thomas

14 Mei - Malaysia terus kempunan menjuarai Piala Thomas apabila skuad badminton negara tewas 0-3 kepada pasukan China. Kemarau 18 tahun Malaysia gagal diubah cuacanya apabila Wong Choong Hann berjaya melengkapkan kemenangan bagi pihak China untuk mara ke peringkat akhir.


Bertempat di Stadium Putra, ketua pasukan, Dato' Lee Chong Wei (gambar) menimbulkan kontroversi melalui kenyataannya apabila melaporkan beliau dan rakan-rakannya hanya bertindak mengikut arahan orang atas.

"Saya boleh mengalahkan Lin Dan. Kelebihan bermain di tempat sendiri, menjadikan ianya logik berganda untuk saya mengalahkan Lin Dan. Namun saya perlu patuh arahan pihak atasan."

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut siapa pihak atasan yang dimaksudkan.

Spekulasi kekalahan skuad badminton kebangsaan mula tersebar luas selepas Kesatuan Penjaja Petrol (Kepepet) dikatakan akan bertemu Perdana Menteri pada permainan akhir Piala Thomas, Ahad ini bagi menyerahkan memorandum mendesak kenaikan harga minyak.

Perdana Menteri secara perundangan, wajib menolak sebarang perbincangan yang akan melemahkan kerajaan. Maka langkah terbaik ialah dengan kegagalan skuad negara melepasi peringkat separuh akhir Piala Thomas bagi menggagalkan pertemuan tersebut.

Pada masa sama ketika disoal mengenai prestasi skuad negara, Menteri Belia dan Sukan senyum berkeyakinan.

"Lagi dua tahun bukan setakat Piala Thomas, Piala Dunia (bolasepak) pun kami akan bawa pulang," ujar Dato' Ahmad Shabery bin Cheek cuba mengajak rakyat optimis dengan kemampuan atlit negara tanpa mengetahui Piala Dunia hanya berlangsung empat tahun sekali.

Belajar Seni Pertahanan Diri

14 Mei - Kerajaan hari ini menyarankan agar semua belia diwajibkan menguasai sekurang-kurangnya satu jenis seni pertahanan diri. Sempena menyambut Hari Belia Negara 2010 bermula hari ini hingga Ahad di Putrajaya, kerajaan berharap belia negara lebih bijak dalam menjaga keselamatan diri.


Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Ibrahim berkata perkara itu sejajar dengan kehidupan semasa yang penuh dengan syak wasangka dan minda-minda sempit bagi sesetengah pihak. Maka seni pertahanan diri ialah benteng terakhir untuk belia menangkis segala cabaran ini.

"Kita akan mulakan di peringkat persekolahan. Oleh itu, idea ini akan saya bawa ke mesyuarat kabinet kerana memerlukan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran," ujar beliau bangga.

Pada bulan Februari lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mewajibkan agar setiap pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan bagi mengembalikan zaman kegemilangan sukan dan melahirkan lebih ramai atlit pelapis. Idea ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Sejurus selepas perkara sukan ini dijelaskan kepada Dato' Razali, beliau berkata kementerian belia tidak akan terburu-buru melaksanakannya. Perkara ini akan dilaksanakan lagi dua tahun.

"Kerajaan sendiri telah mensasarkan untuk mewajibkan satu perkara sahaja setiap satu tahun kepada pelajar kita. Jadi kita punya masa yang lama untuk merancang."

Ditanya adakah ini ada kaitan dengan kejadian keselamatan belia berusia 15 tahun yang ditembak mati baru-baru ini oleh pihak berkuasa, Timbalan Menteri tersebut enggan mengulas lanjut.

Harga Minyak Didesak

14 Mei - Setelah hampir dua tahun Kerajaan Malaysia tidak mengumumkan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel, Kesatuan Penjaja Petrol (Kepepet) berhasrat mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan untuk menyemak semula dua harga bahan bakar itu.


Presidennya, Subki Maarof kesal dengan usaha kerajaan yang gagal membangkit kemarahan rakyat agar keluar beramai-ramai melakukan protes dan demonstrasi jalanan.

"Dua tahun ialah tempoh yang sangat lama. Kami dari Kepepet amat dukacita dengan tindakan Perdana Menteri Dato' Seri Najib yang tidak meneruskan legasi Tun Abdullah," ujar Subki kecewa. Bulan Jun akan datang, genap 2 tahun Malaysia tidak ada kenaikan mendadak harga minyak.

Kali terakhir harga minyak dinaikkan ialah pada bulan Jun 2008 dengan kenaikan sebanyak RM0.60 untuk petroleum dan RM 0.40 untuk diesel. Kenaikan tersebut adalah yang paling mendadak dalam sejarah 40 tahun semenjak Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak.

Ditanya kenapa kerajaan perlu melakukan penyemakkan harga bahan bakar tersebut, Subki dengan tegas menyatakan kerajaan sekarang sudah tidak ada wang.

"10 pilihanraya kecil dalam satu penggal semenjak pilihanraya umum 2008. Kamu fikir kerajaan ada duit? Kerajaan telah melaburkan berbillion ringgit untuk memancing undi penduduk setempat. Ini belum masuk lagi yang ke-11 di Sibu. Boleh anda bayangkan berapa juta ringgit lagi akan digunakan sekiranya esok lusa 6 orang wakil rakyat meninggal dunia?"

Tegasnya lagi, kerajaan amat wajar mengumumkan kenaikan harga minyak demi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih berdaya saing.

Memorandum oleh wakil Kepepet itu akan diserahkan sewaktu selesai majlis penyampaian pingat oleh Perdana Menteri kepada skuad badminton Malaysia di Bukit Jalil, Ahad ini.

About Us

Launched on November 20th, 2012, KacangDinding offers daily news and views in English, Malay, Hebrew, Chinese and Tamil, delivering over 37 million page views and 750,000 video downloads per month to over 1.6 million absolute unique visitors (Google Analytics, August 2008).


As of July 2008, KacangDinding became the most read news website and the most popular Malaysian and Switzerland website (Alexa.com).

KacangDinding’s editorial position is built on reliable, amaze, sincere, and accurate news, and well informed and diverse views.

KacangDinding’s letters section has generated active participation from readers of all races and religions and of various ideological backgrounds, creating an open and well-informed arena of public debate unseen in Malaysia since the 1980s. Discussion on taboo subjects such as migrant workers, AIDS, Proton's power window and football management systems has generated a new understanding on these issues.

Our editorial position is consistently supportive of justice, human rights, animal movements, democracy, freedom of speech and good governance.

KacangDinding is unique in the Malaysian context as it is one of the few independent media organisations in Malaysia and Burma. It is not linked to any political party or commercial interest. It is owned by founders Ramlan Sabtu and Ramurthy Sunday Dutt.

KacangDinding is also not subject to government licensing, as is broadcast and print media.

KacangDinding is a subscription based website, where users pay RM 150 per year (US$40) to access the daily content, and RM450 per year (US$120) for access to the nine years of archived content. Subscription using Thai Bhat will get 50% discount.

KacangDinding has been recognised through various awards and accolades including from the International Press Institute, Reporters Sans Frontiers, Committee to Protect Journalists, Anugerah Bintang Popular, Asiaweek and Businessweak. KacangDinding is also the only media organisation in Southeast Asia nominated to the prestigious World Academic Achievement Forum’s Media Council for reporting the goodness of Tel Aviv governance.

Isn't we are just amazing and great?

Mr Ehud Barak (fat) presenting award to KacangDinding


Sertai Kami

KacangDinding sedang melebarkan sayapnya untuk menjadi media atas talian nombor pertama di Malaysia. Dalam merencanakan agenda kami, KacangDinding memerlukan tenaga kerja yang kreatif, inovatif, sensitif dan bermotif selari dengan arus kepentingan maklumat.

Antara posisi yang ditawarkan ialah.

Penulis profesional bidang Sains dan Teknologi
-Seminggu sekali (Selasa)
-Mahir dalam teknologi bio / komputer / gajet / elektronik / kejuruteraan

Penulis profesional bidang seni dan budaya
-Seminggu sekali (Khamis)
-Tahu adat, budaya tradisi masyarakat setempat dan dunia
-Gemar melancong adalah satu kelebihan

Penulis profesional bidang hiburan
-Seminggu sekali (Sabtu)
-Berminat dengan dunia gosip artis tempatan dan antarabangsa
-Mempunyai personaliti tersendiri
-Insuran mulut laser tidak ditanggung pihak syarikat

Penulis profesional bidang sukan
-Seminggu sekali (Ahad)
-Mampu melaporkan sukan-sukan tempatan dan antarabangsa
-Pernah bermain 4 jenis sukan tradisional negara (gasing, congkak, konda-kondi & polis entri)

Perunding dan pakar motivasi profesional dalam bimbingan dan kaunseling
-Seminggu sekali (Ahad)
-Wanita dialu-alukan
-Transgender akan dipertimbangkan

Penulis tamu
-Mempunyai latarbelakang yang hebat
-Bebas menulis sebarang rencana untuk membuka minda pembaca


Sila hantar email mudah dan ringkas kepada pihak editorial.
Pemohon bebas untuk menulis dalam sebarang jenis bahasa yang diingini.
Gaji dibayar berdasarkan akta buruh kebangsaan mengikut enakman 37 (A) 1973.

Laporan Anda, Inspirasi Kami.

Disclaimer

KacangDinding is a satirical news weblog published by a group of Malaysian.

KacangDinding uses invented names in all its stories, except in cases when public figures are being satirized. Any other use of real names is accidental and coincidental.

The news and all its content are not true and never going to be true or happen in all times. If it does, it is just happened by coincidental.

The content of this web-site—graphics, text and other elements—is © Copyright 2010 by KacangDinding and the original owner of the images, and may not be reprinted or retransmitted in whole or in part without the expressed written consent of the publisher.

KacangDinding is not intended for readers under 18 years of age.

Sekapur Sireh, Secakir Kopi

Selamat datang ke laman berita dan maklumat penting semasa.


KacangDinding akan menjadi penyalur berita yang mapan sesuai dengan arus perdana dan teknologi.

Di KacangDinding, segala sumber berita dilayan dengan serius demi memastikan KacangDinding kekal menjadi weblog berita nombor pertama di Malaysia.

Jangkauan paradigma yang bertitik tolak semenjak penubuhan KacangDinding akan terus dimantapkan. Namun tidak dinafikan, momentum menjadi perangsang kami untuk terus berkhidmat.

Benarlah seperti dikatakan oleh Bapa Pengasas Akhbar, Newston Boletino (1838-1902), "Dalam memperjuangkan berita, tidak ada apa yang lebih penting melainkan daya (kemahuan)."

Sebarang pandangan dan pendapat, bolehlah diajukan terus kepada kami di bahagian sidang pengarang. Pihak KacangDinding akan membaca setiap huruf sebagai menghargai penulisan anda. Kenapa? Kerana kami juga penulis seperti anda.