Harga Minyak Didesak

Posted by Ramlan Sabtu On Friday, May 14, 2010

14 Mei - Setelah hampir dua tahun Kerajaan Malaysia tidak mengumumkan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel, Kesatuan Penjaja Petrol (Kepepet) berhasrat mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan untuk menyemak semula dua harga bahan bakar itu.


Presidennya, Subki Maarof kesal dengan usaha kerajaan yang gagal membangkit kemarahan rakyat agar keluar beramai-ramai melakukan protes dan demonstrasi jalanan.

"Dua tahun ialah tempoh yang sangat lama. Kami dari Kepepet amat dukacita dengan tindakan Perdana Menteri Dato' Seri Najib yang tidak meneruskan legasi Tun Abdullah," ujar Subki kecewa. Bulan Jun akan datang, genap 2 tahun Malaysia tidak ada kenaikan mendadak harga minyak.

Kali terakhir harga minyak dinaikkan ialah pada bulan Jun 2008 dengan kenaikan sebanyak RM0.60 untuk petroleum dan RM 0.40 untuk diesel. Kenaikan tersebut adalah yang paling mendadak dalam sejarah 40 tahun semenjak Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak.

Ditanya kenapa kerajaan perlu melakukan penyemakkan harga bahan bakar tersebut, Subki dengan tegas menyatakan kerajaan sekarang sudah tidak ada wang.

"10 pilihanraya kecil dalam satu penggal semenjak pilihanraya umum 2008. Kamu fikir kerajaan ada duit? Kerajaan telah melaburkan berbillion ringgit untuk memancing undi penduduk setempat. Ini belum masuk lagi yang ke-11 di Sibu. Boleh anda bayangkan berapa juta ringgit lagi akan digunakan sekiranya esok lusa 6 orang wakil rakyat meninggal dunia?"

Tegasnya lagi, kerajaan amat wajar mengumumkan kenaikan harga minyak demi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih berdaya saing.

Memorandum oleh wakil Kepepet itu akan diserahkan sewaktu selesai majlis penyampaian pingat oleh Perdana Menteri kepada skuad badminton Malaysia di Bukit Jalil, Ahad ini.

0 comments

Post a Comment