Nik Aziz MB Kelantan

16 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan rasa terkejutnya mendapati Datuk Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan yang sah. Beliau berucap setelah selesai menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra di Istana Mahkota di Kota Bharu.


Perdana Menteri turut diiringi beberapa menteri termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau hairan kerana selama beliau menghadiri upacara majlis perasmian di Kelantan, beliau ditugaskan merasmikan majlis dan memberi ucapan di negeri yang diberi jolokan serambi Mekah itu.

Ekoran daripada kegagalan Datuk Nik Aziz tidak pernah hadir merasmikan majlis peringkat kebangsaan di negeri beliau sendiri, ini melihatkan seolah-olah negeri Kelantan tidak memiliki seorang pemimpin bertugas untuk merasmikan majlis.

Pada bulan Mac lalu. penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTDL) telah membelakangkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada upacara melepaskan peserta. Sebaliknya, majlis itu disempurnakan oleh Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

"Saya sentiasa fikir bahawa Kelantan ialah negeri bawah pentadbiran Barisan Nasional. Saya sendiri akui terperanjat setelah diberitahu Nik Aziz ialah daripada parti PAS," ujar Datuk Seri Najib penuh kehairanan memikirkan perkara ini.

Malam ini, majlis perasmian Fiesta Kelantan 2010 di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke—IV di Kota Bharu sekali lagi tidak akan dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Tugas merasmikan majlis ini, tugas pemimpin. Majlis pecah tanah dan majlis penyerahan cek beribu-ribu ringgit serta potong riben, sudah termaktub dalam bidang kuasa wakil rakyat," ulas Datuk Seri Najib.

"Dari sini rakyat sudah boleh menilai cara pembangkang di Kelantan buat kerja. Tidak mendekati majlis rakyat, saya rasa rakyat tak perlu undi mereka lain kali," kata Najib yang masih keliru siapa parti pembangkang sebenar di Kelantan.

Datuk Seri Najib juga komited untuk merasmikan semua majlis yang diadakan di seluruh Malaysia ini sepanjang menjadi Perdana Menteri sebagai satu model ikutan pemimpin berjiwa rakyat.

Sukan Foto Sukma

16 Jun - Sukan fotografi ‘Satu Kamera, Satu Sukan, Satu Malaysia’ sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 diadakan buat kali pertama di Melaka dalam sejarah sukan moden.

Timbalan Pengerusi Exco Negeri Tradisi, Kesenian dan Warisan, Datuk Haji Lebai Tahir Haji Mohamad Hasan berkata, sukan itu melambangkan kejituan setiap sukan yang dianjurkan yang mengandungi detik-detik estetika tersendiri.

Menurutnya, sukan itu melambangkan penyatuan kaum dalam acara sukan terbesar dan terhebat. Setiap peserta perlulah menangkap sebanyak mungkin gambar untuk setiap perlawanan. Peserta paling banyak menangkap gambar dengan jelas tanpa kehadiran kekaburan dalam gambar, akan diberikan pingat. Gambar yang dapat menonjolkan peluh menitik dengan jelas, atlet yang pitam dan menangis akan diberikan markah bonus.

“Tempat pertama menerima hadiah RM7,000 berserta pingat, kedua RM1,500 berserta pingat dan tempat ketiga kit pembersih kanta berserta pingat. Hadiah sagu hati tempat keempat hingga ke-10 pula menerima RM250 dan diberikan sijil penghargaan,” katanya gembira.

Datuk Haji Lebai Tahir berharap, atlet yang mengambil bahagian berjuang dengan semangat kesukanan kerana ia mampu menghasilkan gambar berkualiti, sekali gus menonjolkan kemahiran fotografi kreatif dan inovatif setiap negeri bertanding.

Sukan fotografi bermula 7 Jun lalu dan berakhir 19 Jun ini, sementara tarikh tutupnya pula ialah pada 23 Jun.

Jualan Mamak Naik

16 Jun - Demam bola sepak bermula. banyak perkara berlaku apabila bermulanya musim raja sukan ini. Tidak ketinggalan, kedai-kedai makan yang menawarkan perlawanan secara langsung dari premis mereka. Publisiti kejohanan tersebut di kedai-kedai makan sekitar Malaysia berjaya mengukir senyuman kebanyakkan pemilik restoran masakan india muslim.

"Jualan masakan kami meningkat. Paling meningkat ialah roti worldcup. Hidangan menu istimewa kami dengan kuah kari gaya afrika," kata Farouk Ameeth, pengusaha kedai makan mamak.

Kehadiran wartawan KacangDinding disambut meriah dengan tiupan vuvuzela - sejenis alat muzik tradisional Afrika.

Turut disertakan sebagai set pelengkap roti worldcup ialah teh tarik kad merah. Teh tarik ini diberi nama sedemikian kerana gaya sewaktu menarik teh tersebut seperti gaya seorang pengadil mengeluarkan kad merah dari poket seluar dan dilayangkan kepada pemain.

"Pelanggan yang hadir dengan hanya memesan segelas air kosong, akan dilayangkan pula kerusi merah sebagai menu pelengkap," ujar Farouk sambil menampar bahu salah seorang pelanggannya yang sedang minum dengan tenang.

Belanda - Denmark

14 Jun - Skuad Denmark yang selama ini beraksi di gelanggang badminton, mula mempamerkan kehebatan di atas padang bola sepak sempena Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Menentang pasukan serba jingga, skuad Denmark berjaya menjaringkan gol melalui Simon Poulsen ke arah penjaga gawangnya sendiri - Thomas Sorensen pada minit ke 46. Jaringan minit-minit akhir permainan oleh Dirk Kuyt berjaya menebus maruah skuad Belanda bagi mengelakkan mendapat tiga mata penuh dari kebergantungan belas ehsan gol sendiri pemain Denmark.

Jurulatih Denmark, Morten Olsen berjanji tidak akan melayakkan pasukannya ke peringkat kalah mati demi memberi fokus kepada sukan badminton Denmark yang lebih stabil.

Perokok Wanita Ramai

14 Jun - Peratusan perokok dikalangan remaja perempuan kini melebihi kuota perokok remaja lelaki. Hal ini amat membimbangkan sehinggakan terdapat remaja perempuan yang mampu merokok seusia 10 tahun lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar) melahirkan kerisauan ini kerana akan membentuk gambaran negatif mengenai remaja perempuan Malaysia yang biasanya sinonim dengan sopan santun dan lembut gemalai.

Beliau memetik kajian Tinjauan Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada tahun 2009 yang mendapati peratusan remaja perempuan merokok adalah sekali ganda iaitu 17.8 peratus berbanding lelaki sebanyak 8.1 peratus.

Jumlah remaja perempuan yang berjinak-jinak dengan tembakau didapati berpunca daripada saingan untuk memperjuangkan hak kesama-rataan antara lelaki. Seperti biasa, memang golongan perempuan akan berjaya menewaskan lelaki seperti sebelum ini misalnya dalam bidang sektor awam dan pendidikan.

Rosnah turut menambah, tabiat merokok di kalangan remaja perempuan disebabkan pengaruh iklan yang menjanjikan kecantikan fizikal dan penyelesaian kepada cara menguruskan badan.

"Ini semua mengarut, kalau hendak kurus mestilah melalui senaman. Saya nasihatkan janganlah terlalu obses untuk mengurangkan berat badan. Isteri Perdana Menteri kita pun menjalani hidup sihat dengan senaman. Bukan merokok. Saya sihat sama seperti beliau," ulas Datuk Rosnah selepas merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010.

Piala Dunia Milik KD

14 Jun - Setelah berkali-kali rundingan dan persetujuan dicari antara Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC) dan KacangDinding, akhirnya kedua-dua pihak bersepakat untuk memutuskan hak media penulisan atas talian dimiliki oleh KacangDinding.

Pertemuan dan perbincangan mengenai media yang layak menyiarkan berita Piala Dunia 2010 dari Afrika Selatan itu bermula seawal bulan Mei yang lalu. Sepanjang proses perbincangan tersebut, satu demi satu media mula menarik diri dari merebut hak penyiaran berita tersebut.

Pihak KacangDinding amat berbesar hati untuk menyediakan laporan akhir keputusan perlawanan berprestij yang juling-julung kali diadakan itu secara profesional.

"Kemenangan kami dalam memiliki hak ini, adalah kerana idea-idea yang menarik dijana oleh kakitangan kami yang bijak dan memahami sentimen perkauman. Tidak seperti media yang lain, lebih mengutamakan propaganda dan isu lapuk seperti analisis tak sudah-sudah kenapa Malaysia tidak layak ke Piala Dunia," ujar pengasas KacangDinding yang juga Ketua Pengarah, Ramurthy Sunday Dutt mengenai faktor kemenangan mereka.

Skuad KacangDinding yang ditugaskan memberi laporan keputusan perlawanan Piala Dunia 2010 telah berlepas melalui penerbangan Africa Airlines malam semalam sejurus sebelum keputusan hak penyiaran berita diumumkan pagi tadi.

Pelihara Friendster

1 Jun - Hasil kajian peringkat pertama yang dilakukan oleh Institut Ketamadunan Internet (ICI) menyaksikan Friendster sedang diancam kepupusan. Kajian yang memfokuskan kepada kesinambungan genetik internet mendapati Friendster tidak mampu untuk hidup lebih lama kerana keupayaannya yang terhad.

Jaringan sosial terkini mementingkan kepantasan akses dan keupayaan untuk memahami corak dan keinginan pengguna. Friendster gagal untuk mengubah struktur fungsinyanya dikala laman jaringan sosial lain menggunakan ajax dan java, friendster masih lagi tersekat dengan html dan php. Lebih padah apabila pengaturcara di Friendster hanya menggunakan perisian 'notepad' untuk menaik taraf laman tersebut.

MOL Global Pte Ltd, syarikat Malaysia yang membeli Friendster pada Disember 2009 menghadapi kekangan dana apabila kerajaan Malaysia menganak-tirikan mereka. Kerajaan Malaysia lebih gemar mempromosikan aktiviti mereka melalui laman sosial yang lain.

Oleh itu, MOL akan membawa Friendster kepada UNESCO agar ianya dimasukkan kedalam senarai website warisan dunia yang perlu dipelihara bagi mengelakkan ianya terus kehilangan populariti. MOL juga berharap kerajaan Malaysia dapat memasukkan Friendster ke dalam kalendar pelancongan negara sebagai satu laman yang perlu dilawati apabila bercuti di Malaysia.

Klinik Gigi Jalanan

31 Mei - Orang ramai yang mendapatkan khidmat doktor gigi jalanan dinasihatkan berjaga-jaga dengan khidmat yang ditawarkan. Ini kerana tahap kebersihan mereka dikhuatiri boleh mendatangkan penyakit berbahaya. Alatan yang digunakan untuk memeriksa dari satu mulut pesakit ke pesakit lain juga tidak dinyahkumankan mengikut prosedur yang sempurna.

Khidmat doktor gigi jalanan itu yang didapati berleluasa di sekitar Pasar Kepayang amat berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan kuman dan komplikasi penyakit yang memudaratkan. Lebih teruk lagi sebahagian penyakit yang boleh dijangkiti itu berpotensi membawa maut seperti AIDS.

Kementerian kesihatan telah mengeluarkan notis agar rakyat Malaysia menjauhi premis-premis klinik pergigian yang tidak diiktiraf dan segera melaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan susulan.

Ketika wartawan KacangDinding menyamar menghampiri salah seorang doktor gigi jalanan tersebut, mereka menyangkal keras alatan mereka tidak bersih dan boleh memudaratkan pesakit.

Fang, yang berasal dari China memberi jaminan khidmatnya dijamin bersih dan sama seperti khidmat doktor gigi profesional lain.

"Kami di sini memastikan alatan kami dicuci bersih dengan sabun Dettol. Ianya membunuh kuman dengan berkesan. Khidmat kami juga halal kerana ubatan dan alatan kami tidak mengandungi unsur babi."

Fang juga menjelaskan bahawa mereka turut mengambil berat faktor penyebaran AIDS yang ditakuti orang ramai.

"Setiap pelanggan akan dibekalkan kondom yang masih baru bagi mengelakkan pelanggan kami menerima jangkitan AIDS sewaktu kami memberi rawatan."

Wartawan KacangDinding walaubagaimanapun menolak khidmat tersebut setelah diberikan sebungkus kondom yang berkualiti tinggi.

Pengikut

Kategori

editorial (4) ekonomi (2) hiburan (1) kaunseling (1) sci/tech (2) sukan (4)
Click to follow our twitter
”/
Kacang Dinding

Ramlan Sabtu

Ketua Pengarang
Malaysian | CONTACT
”/
Kacang Dinding

Kambing Gurun

Pengarah Liputan
Malaysian | CONTACT
Follow us on Twitter
Host Sponsor