Klinik Gigi Jalanan

Posted by Ramlan Sabtu On Monday, May 31, 2010

31 Mei - Orang ramai yang mendapatkan khidmat doktor gigi jalanan dinasihatkan berjaga-jaga dengan khidmat yang ditawarkan. Ini kerana tahap kebersihan mereka dikhuatiri boleh mendatangkan penyakit berbahaya. Alatan yang digunakan untuk memeriksa dari satu mulut pesakit ke pesakit lain juga tidak dinyahkumankan mengikut prosedur yang sempurna.

Khidmat doktor gigi jalanan itu yang didapati berleluasa di sekitar Pasar Kepayang amat berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan kuman dan komplikasi penyakit yang memudaratkan. Lebih teruk lagi sebahagian penyakit yang boleh dijangkiti itu berpotensi membawa maut seperti AIDS.

Kementerian kesihatan telah mengeluarkan notis agar rakyat Malaysia menjauhi premis-premis klinik pergigian yang tidak diiktiraf dan segera melaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan susulan.

Ketika wartawan KacangDinding menyamar menghampiri salah seorang doktor gigi jalanan tersebut, mereka menyangkal keras alatan mereka tidak bersih dan boleh memudaratkan pesakit.

Fang, yang berasal dari China memberi jaminan khidmatnya dijamin bersih dan sama seperti khidmat doktor gigi profesional lain.

"Kami di sini memastikan alatan kami dicuci bersih dengan sabun Dettol. Ianya membunuh kuman dengan berkesan. Khidmat kami juga halal kerana ubatan dan alatan kami tidak mengandungi unsur babi."

Fang juga menjelaskan bahawa mereka turut mengambil berat faktor penyebaran AIDS yang ditakuti orang ramai.

"Setiap pelanggan akan dibekalkan kondom yang masih baru bagi mengelakkan pelanggan kami menerima jangkitan AIDS sewaktu kami memberi rawatan."

Wartawan KacangDinding walaubagaimanapun menolak khidmat tersebut setelah diberikan sebungkus kondom yang berkualiti tinggi.

0 comments

Post a Comment