Samy Pecat Lagi

Posted by Ramlan Sabtu On Sunday, May 30, 2010

30 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu (gambar) telah memecat kesemua ahli parti itu yang tidak sehaluan dengan beliau. Terkini, setiausaha agung parti itu, S Murugessan telah dipecat dan ditarik kesemua elaun dan faedah sebagai ahli MIC.

Sebelum ini, Datuk Seri Samy telah memecat 4 orang berjawatan tinggi dalam parti tersebut. Dua daripadanya adalah tergolong daripada ahli jawatankuasa pusat, KP Samy dan G Kumar Amaan. Turut dipecat ialah timbalan ketua pemuda, V Mugilan dan pemimpin veteran dari bahagian Petaling Jaya, V Subramaniam. Mereka semua dipecat kerana lantang menggesa presiden parti itu supaya berundur.

Mereka semua dipecat tanpa diberi peluang menghadiri majlis timbang tara justeru membuatkan Murugessan tidak puas hati kerana mengancam proses demokrasi parti.

Pada masa sama, Datuk Seri Samy melancarkan kempen Kami India Sayang Samy (KISS) bagi menempis segala tohmahan oleh Gerakan Anti-Samy (GAS) yang diketuai bekas timbalan ketua pemudanya.

"Ciuman kasih sayang (KISS) akan memberi kesan positif walau dikelilingi gas beracun." katanya sambil disambut gelak tawa para wartawan.

Seorang penganalisa politik mendapati Samy akan memecat mereka yang ada huruf 'M' dalam nama mereka. Ironinya Samy mungkin tidak gemar orang yang mempunyai huruf tersebut kecuali dirinya. Sebab itu jika diperhatikan, beliau tidak memecat timbalannya yang bernama Dato' G. Palanivel. Mereka yang mempunyai lebih dari satu 'M' dalam nama mereka, berpotensi lebih besar untuk dipecat.

Datuk Seri Samy juga sedang berbincang untuk memecat Tun Dr Mahathir yang turut mempertikai kredibilitinya memimpin parti. Tun Dr Mahathir dijangka akan dipecat dari menduduki jawatan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-empat.

0 comments

Post a Comment