16 Mei - Sewaktu satu Malaysia rancak meraikan hari guru kebangsaan di sekolah masing-masing, seorang pelajar di Kelantan telah membuat laporan polis terhadap pengetua sekolahnya dan guru-guru sekolahnya. Pelajar 17 tahun itu keliru dengan masa depannya apabila dipaksa mengambil peperiksaan SPM pada November ini.
Nik Azmin mengakui didesak untuk mengambil peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah dan keluarga. Beliau juga sering kali dipanggil lembaga disiplin dan kaunseling sekolah kerana keengganannya menduduki peperiksaan itu. Namun beliau bertekad tidak akan tunduk dengan tekanan yang diberi.
Beliau yakin bahawa kepandaian seseorang bukanlah terletak pada helaian kertas. Angka-angka gred yang terpapar baginya hanyalah satu tekanan psikologi yang menjadi beban untuk pelajar sekolah sepertinya.
"Anda tidak boleh mengawal segala kejadian yang berlaku dikeliling anda, tapi anda mampu mengawal reaksi anda terhadap semua perkara yang berlaku di sekeliling anda. Jadi saya mengambil langkah ini sebagai membuktikan cara reaksi yang rasional terhadap sistem pendidikan negara," ulas Nik Azmin.
Nik Azmin, pelajar terbaik sekolah tersebut dianggap oleh pihak sekolah sebagai satu taruhan untuk menaikkan nama sekolah tersebut di peringkat daerah Sungai Lipor.
Pengetua sekolah berkenaan, Tuan Haji Daud Salleh (gambar kanan) berharap dengan mendaftarkan Nik Azmin secara rahsia sebagai calon SPM adalah senjata intelektual sekolah itu untuk menjatuhkan maruah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lipor Satu (SMK SL1).
SMK SL1 adalah sekolah bestari peringkat daerah dan berjaya mengekalkan status keputusan SPM terbaik bagi tahun 2004 hingga 2009. Sekolah berkenaan juga melahirkan ramai pelajar-pelajar dengan keputusan SPM dan PMR yang cemerlang setiap tahun.
Tuan Haji Daud berjanji akan terus berusaha untuk memastikan Nik Azmin agar dapat hadir dengan jiwa yang terbuka di hari peperiksaan tersebut dan menarik balik laporan polis yang dibuat Nik Azmin.
0 comments
Post a Comment