Industri Cat Untung

Posted by Ramlan Sabtu On Monday, May 17, 2010

17 Mei - Industri cat negara menyaksikan pertumbuhan 5% bagi suku pertama tahun 2010 berbanding suku keempat 2009. Hal ini menjadikan industri cat sebagai industri kedua terkukuh di Malaysia selepas industri gas dan petroleum yang menyaksikan pertumbuhan 7.5% bagi tempoh yang sama.


Industri cat negara yang dipelopori oleh Colourland Paints Sdn Bhd dengan penjenamaan semula yang dilakukan mereka pada 2007 menyaksikan jenama cat paling menjadi pilihan masyarakat di Malaysia, Asean dan beberapa negara Eropah.

Sebelum ini, cat hanya dipopularkan sebagai cecair berwarna untuk melindungi permukaan yang lebih tertumpu kepada hiasan. Usaha Colourland Paints Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa pembiaya skim pinjaman kewangan semenjak 2007 berjaya memberi nafas baru kepada industri cat tempatan. Cat kini tidak terhad penggunaannya kepada sektor dekoratif, bahkan mampu menjadi bahan ugutan dan amaran bagi sesetengah pihak.

Warna cat yang paling mendapat sambutan ialah warna merah dengan pengeluaran sebanyak 30 juta tan metriks sebulan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pembantu Pengarah Pemasaran Colourland Paints Sdn Bhd, Chew Mei Foo berkata, unjuran kewangan pada suku kedua 2010 akan menyaksikan lebih banyak pertumbuhan akan berlaku dan mensasarkan mampu mencecah 7.3%.

Pertumbuhan rancak industri cat bagi suku kedua dan suku ketiga akan datang dipacu dengan tindakan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan untuk piala dunia 2010. Peminjam wang yang tidak mampu melunaskan pinjaman kewangan akan menjadi penyumbang kepada kenaikan kadar jualan cat.

Selain itu, antara faktor lain yang turut menjadi penyumbang kenaikan ialah sambutan hari kemerdekaan yang dijangkakan meriah diiringi beberapa pendedahan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri yang akan turut menyaksikan proses ugutan berleluasa.

Chew Mei Foo berkata, Colourland Paints Sdn Bhd juga akan melebarkan sayapnya ke luar negara dan membuka francais di pasaran Bangkok dan Las Vegas.

0 comments

Post a Comment