Gabungan Komunikasi Masakan

Posted by Ramlan Sabtu On Thursday, May 20, 2010

Kini sesiapa pun boleh akses internet di mana-mana. Itulah moto yang diperkenalkan oleh Canon apabila berjaya mengeluarkan produk alatan memasak mereka yang pertama.


Dengan hasil kerjasama Microsoft, Canon berjaya menembusi pasaran komunikasi dan maklumat. Senduk Nasi R37D yang dikeluarkan Canon bukan seperti senduk nasi biasa. Ianya dilengkapi dengan teknologi internet terkini seperti akses gigibiru dan USB untuk memudahkan pemindahan data.

Disamping itu, teknologi GPS juga disediakan bagi memudahkan pemiliknya mengesan lokasi Senduk Nasi bagi memudahkan pencarian dan menjimatkan masa sesuai dengan sasaran pembeli dikalangan warga emas.


"Matlamat kami ialah memastikan tiada sebarang lapisan masyarakat ketinggalan dalam dunia internet. Tak kira sama ada anda sudah putus haid atau menghabiskan masa di dapur, tiada alasan untuk anda gagal mengetahui fesyen baju terkini di seluruh dunia," jelas ketua penerangan pemasaran Senduk Nasi R37D tersebut, Daniel Rosevelt Eusoff.

Senduk nasi berkenaan menepati keperluan dan permintaan pengguna setiap hari dalam pelbagai aspek termasuk gaya, harga, saiz dan keperluan pengkomputeran.

Berberatkan 500 gram, ia mampu menawarkan kecanggihan dan mobiliti dalam rekaannya. Ianya boleh didapati dalam warna Magenta Putih, Biscotti dan Matte Black serta rekaan yang dapat mengurangkan kesan cap jari menjadikannya mudah dibersih dan diselenggarakan. Ciri-ciri ini turut sesuai bagi peminat hiburan yang sentiasa bergerak.

Pelancaran Senduk Nasi R37D menggabungkan teknologi dan fesyen menerusi beberapa siri aktiviti dengan golongan wanita terutamanya kaum ibu dan suri rumah. Oleh itu, Canon menganjurkan jualan kebajikan sempena pameran jalanan tersebut.

Keuntungan daripada jualan berkenaan akan didermakan kepada Women Organization Recook Skills Taiping (WORST).

Senduk R37D telah berada di pasaran sekarang.

0 comments

Post a Comment